PADA satu kesempatan Rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang Muslim mempunyai lima kewajipan atas
Muslim yang lain, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi
jenazahnya ke kuburan, memenuhi undangan dan jika bersin mengucapkan
Alhamdulillah.
1. MENJAWAB SALAM
Jika ada seseorang memberi salam, kadang-kadang begitu sahaja kita
menjawabnya dan bahkan ada yang hanya menganggukkan kepala sahaja. Seolah-olah
ia merasakan mempunyai martabat yang lebih tinggi dan orang yang memberi salam
mempunyai martabat yang lebih rendah. Rasulullah s.a.w. menjawab salam, bukan
sekadar ucapan `wa alaikumus salam' yang keluar dari mulut baginda tetapi
baginda mengucapkannya dalam bentuk doa dengan harapan ``semoga orang itu
memperoleh keselamatan'', maka Allah s.w.t. akan mengembangkan keselamatan ke
atas orang itu dan dengan sendirinya ia akan terpelihara daripada keburukan.
Ini kerana orang yang berdoa dengan hati yang benar tidak akan memberi pengaruh
yang bertentangan. Dan kalau hal ini direnungkan, maka didapati bahawa dengan
ucapan wa alaikumus salam, seseorang tidak akan terfikir untuk melakukan
keburukan ke atas orang yang memberi salam kerana jika ia berbuat demikian ia
adalah orang munafik.
2. MENZIARAHI ORANG SAKIT
Menjadi kebiasaan kita iaitu menjenguk orang sakit, tetapi tidak seperti
kewajipan yang lazim sebagai seorang Muslim melainkan hanya orang-orang besar,
orang-orang ternama atau hanya teman-teman rapat sahaja yang diziarahi. Jika
hanya orang yang kaya sahaja yang dilawat, itu bererti nasihat baginda tidak
dilaksanakan sebagaimana yang sepatutnya. Segala hal yang Rasulullah s.a.w.
nasihatkan kepada orang Muslim harus diperhatikan dan dihayati dan tegakkanlah
tradisi ini dalam masyarakat di mana pun kita berada. Jangan membiarkan saudara
kita yang miskin berada dalam keadaan yang tidak berdaya, apabila kita
menziarahi mereka banyak hal-hal lain yang akan kita temui. Selain itu, jangan
melawat orang sakit dengan sekadar bertanya khabar sahaja kemudian berlalu.
Dengan menjenguk orang sakit itu kita akan mengetahui serba sedikit latar
belakang mereka contohnya dari segi makanan, tempat tinggal dan suasana di
rumah mereka. Memperhatikan keperluan-keperluan yang lain dan memenuhinya
adalah kewajipan kita bersama. Sebab seorang yang miskin jika dibiarkan tanpa
tempat bergantung hidup, seolah-olah dia diciptakan hanya untuk menantikan saat
kematiannya. Jadi, dalam hal menziarahi orang sakit yang telah diterangkan oleh
Rasulullah s.a.w. adalah untuk memperhatikan hak setiap warga masyarakat.
3. MENGIRINGI JENAZAH
Solat Jenazah memang dilaksanakan namun apa yang kita selalu perhatikan
ialah apabila orang yang meninggal itu adalah orang besar pasti ramai yang akan
datang, tetapi jika orang yang meninggal itu orang biasa, yang tidak ternama, orang
jarang kelihatan mengiringi jenazahnya. Cuba perhatikan bagaimana mulianya
Rasulullah s.a.w., daripada keperluan orang yang hidup hingga kepada keperluan
orang yang mati pun tetap dijelaskan di hadapan kita. Oleh kerana itu jika ada
seorang miskin yang meninggal dunia, haknya ada pada diri kita untuk dipenuhi.
Jika semasa hidupnya kita tidak sempat memenuhi haknya, maka setelah dia
meninggal dunia pun kita dapat memenuhi haknya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang yang selalu mengabaikan orang yang hidup, dia pun tentu akan
mengabaikan orang-orang yang mati.
4. MEMENUHI UNDANGAN
Rasulullah s.a.w. bersabda: Merupakan hak seorang Muslim untuk memenuhi
undangan seorang Muslim yang lain. Apalah ertinya kebaikan jika hanya jemputan
orang kaya sahaja yang dipenuhi, manakala jemputan orang miskin kita abaikan.
Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda: Jika anda dijemput oleh orang miskin ke
rumahnya, janganlah menolak undangan tersebut disebabkan kemiskinannya. Di
sini, apabila kita dijemput untuk makan makanan yang ukurannya jauh daripada
makanan seharian kita, janganlah terima undangan itu kerana makanan tetapi
terimalah undangan itu untuk membesarkan hati orang miskin tersebut.
5. MEMBACA ALHAMDULILLAH KETIKA BERSIN
Sesetengah orang mengatakan Islam mengajarkan hal-hal kecil yang tidak
penting. Padahal dalam hal yang kecil itulah justeru terdapat satu kehidupan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, jika kita bersin, bacalah Alhamdulillah, dan yang
mendengarnya harus membaca Yarhamukallah. Berdasarkan penelitian ilmu kedoktoran
mengenai bersin, pada umumnya waktu seseorang bersin terdapat suatu zarah/unsur
di dalam saluran hidung bergerak ke arah otak, dan jika ia sampai ke otak, ia
boleh menimbulkan kemudaratan. Kecepatan daya bersin amat cepat sehingga
mencapai ratusan kilometer per jam dan begitu kuatnya sehingga kita tidak dapat
menahannya. Oleh sebab itulah apabila bersin kita diingatkan supaya membaca
Alhamdulillah- segala puji bagi Allah, dan orang yang mendengar harus membaca
Yarhamukallah (semoga Allah mengasihi engkau).
Kita sebagai umat Islam harus berusaha mengamalkan ajaran-ajaran Rasulullah
s.a.w. walau sekecil manapun ajaran tersebut pada pandangan orang lain. Kita
yakin bahawa semua sunah Rasulullah s.a.w. tidak ada satu pun yang membawa ke
arah yang sia-sia.
No comments:
Post a Comment