Dalam sebuah kitab karangan
'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup
dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah
menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai
akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T.,
kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah
engkau!", lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman
lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun
berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu
yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang
bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia
daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T
menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu,
mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri.
Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan
siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau
adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T
menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya.
Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan
siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah
Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu
itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T
berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?".
Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu
adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga
diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita
mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita
mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia
yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.
No comments:
Post a Comment